Sarikei pertarungan sesama DAP / 25/02/2008

By Kung Chin Chin on Wednesday, December 31, 2008

Filed Under:

SARIKEI 24 Feb. – Parlimen Sarikei yang asalnya adalah medan pertarungan Barisan Nasional (BN) dengan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kini telah menjadi pertarungan sesama anggota DAP sendiri yang tidak puas hati dengan pucuk pimpinan mereka.

Meskipun DAP telah meletakkan calon mereka, Dr. Wong Hua Seh, 57, untuk menentang calon BN iaitu Ding Kuong Hiing, 53, namun dua anggota parti itu bertindak membelakangi parti dengan bertanding atas tiket Bebas.

Dua anggota DAP terbabit iaitu Ngu Ting Hai, 51, dan Kung Chin Chin, 34, bertanding pada kali ini seolah-olah memprotes pucuk pimpinan parti berkenaan di negeri ini.

Antara alasan dua calon itu untuk bertanding adalah disebabkan tidak terpilih pada pilihan raya kali ini manakala seorang lagi menggunakan masalah prinsip yang diamalkan oleh pemimpin parti berkenaan.

Chin Chin memberitahu, masalah prinsip dalam kepimpinan parti itu menyebabkan beliau rasa terpanggil untuk bertanding di Parlimen Sarikei walaupun percubaannya pada pilihan raya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2006 di Repok gagal.


Menurutnya, banyak perkara yang tidak kena dalam parti itu malah segala kata-kata yang dijanjikan tidak pernah ada yang betul atau diterjemahkan.

“Sebab utama saya ingin bertanding adalah prinsip, kalau cakap kena tunaikan dan kalau salah tetap salah kerana negara ini mengamalkan demokrasi,” ujarnya yang mengakui masih ahli parti tersebut.

Begitu juga dengan Ting Hai yang tidak kisah jika parti DAP mengambil tindakan untuk memecatnya kerana baginya kepimpinan parti itu tidak menepati janji mereka.

Katanya, sebelum ini beliau telah dijanjikan untuk bertanding tetapi namanya tidak tersenarai menyebabkannya tidak peduli untuk bertanding atas tiket Bebas.

“Saya ingin berkhidmat kepada masyarakat tetapi kepimpinan DAP tidak menunaikan janji mereka untuk meletakkan saya sebagai calon.

“Lagi pun, saya telah 10 tahun memantau perkembangan di Sarikei dan mengetahui apa yang berlaku di sini dan berharap berkhidmat di Parlimen ini,” katanya yang kecewa dengan parti itu yang tidak menepati janji mereka.

0 comments for this post

Post a Comment

Comments Form